1

9/10 Rezeki di dalam perniagaan, melawan arus

Melawan Arus

Pagi ni tak ramai orang di Vision Park. Kalau ikutkan time 8:00 pagi ni selalunya tempat parking dah penuh dengan kereta. Tapi kali ini tak pulak. Masih banyak yang kosong. Aku rasa sebab ramai yang ambik kesempatan untuk pergi bercuti. Al maklumlah cuti sekolah seminggu.

Seperti pagi-pagi yang lain aku ikut trek arah ikut jam sebab itulah kebiasaan yang ramai orang buat. Hampir 98% berjogging ikut arah jam. Hanya ada segelintir yang melawan arus – ikut lawan jam (macam tawaf di Kaabah).

Time-time jogging macam ni adalah masa untuk self talk. Kata pakar-pakar motivasi dalam sehari kita self talk lebih daripada 4,000 kali. Dulu aku cuba-cuba nak kira, tapi memang tak dan ..hihihi.

Pagi ni otak aku memang self talk non-stop. Biasanya aku tune ke channel Lite FM masa berjogging – kali ni tetiba hilang dalam pendengaran. Channel self talk aku lebih deras pagi ni.

Aku relatekan cara orang start berjogging ikut arah jam dengan rezeki yang Allah dah tetapkan. 9/10 rezeki di bidang perniagaan dan hanya 1/10 je di tempat-tempat yang lain.

Tapi yang 1/10 ni lah yang ramai orang nak, macam nak start jogging hampir semua dok start ikut arah jam. Bersesak lah jugak. Ibarat macam tu la.

Yang ikut arah lawan jam tu macam di bidang bisnes lah kot … tak ramai tapi tak sesak. Rezeki yang 9/10 tu boleh lah kongsi lebih sikit. Sebab tu yang berniaga secara purata (aku cakap purata) pendapatan mereka lebih la sikit dari yang makan gaji.

Kenapa tak ramai yang nak rebut 9/10 tu? Asyik berlegar-legar dalam otak kepala aku. (Tak ku sedar, agaknya dah berapa round aku belasah trek pagi ni). Sebabnya nak dapat yang 9/10 tu bukannya senang.

Jika senang pakat-pakat semua kaya raya, Jadi tak gaduh lah pasai minyak mahal, beras mahal, tol mahal dan apa kejadah semua yang mahal-mahal.Tapi sebab susah lah jika berjaya tembus, memang berbaloi ganjarannya.

Nak berniaga biarlah mula dari sekarang. Part time ke, kecil-kecilan ke sebab nak timba ilmu terlebih dulu. Kayuh pelan-pelan cari momentum.

Teringat aku kat sorang kawan yang memang nak sangat bisnes full time tapi katanya tak boleh nak start bisnes pasai dok sibuk memanjang.

Agaknya dah dekat 8 tahun dia masih sibuk, sebab belum start-start. Aku rasa kalau nak tunggu tak sibuk, alamatnya hingga hujung nyawanya le jawabnya. Akupun sama dulu sibuk-sibuk-sibuk. Lepas tu aku sibuk, sibuk ke tidak bukan soalnya. Soalnya Nak atau tak nak. Jika nak mesti ada carakan … lautan apipun boleh di renangi (cer buat macam zaman bercinta!!!)

Petua nak mula bisnes Part time .. meh aku kongsi sikit apa yang aku dah lalui ..

1) Tuntut ilmu dari mentor.

Mentor ni tak semestinya yang hang boleh jumpa secara personal. Dari buku pun boleh dok kira sebagai mentor. Dari apa yang di baca boleh di jadikan sebagai panduan untuk bermula.

Pendek kata kena keluar lah sikit modal untuk cari ilmu. Cari coach, cari mentor, hadir seminar, baca buku. Tak banyak pun modal nak keluar untuk cari seorang mentor.

Baru-baru ni aku jumpa seorang mentor baru. Ni cara aku lah, mentor aku biasanya penulis buku (yang sukses dalam bidang tertentu).

Sebab dok selalu tengok ads dia dalam FB, aku at last order buku dia – Dean Graziosi. Buku yang aku order ialah “Millionaire Success Habit”. Cuma aku silap sikit, sebab pembeli di luar US, jika hanya bayar shipping kos USD9.95 hanya dapat e-book version, jika tambah USD10, boleh dapat buku fizikal. Aku order yang e-book jer.

Kenapa aku nak promote mamat ni? Sebab buku dia citer pasai praktikal tips. Boleh di applikasi dengan ikut step2 yang dia bagi. Ni dah kira mentor lah tur.

Keluarlah modal sikit. Bulan ni je aku dah ada 4 orang mentor baru. Aku orang sibuk, jadi aku jadikan buku le mentor aku .. Ni haa senarai mentor aku bulan ni ..

1. Dean Graziosi .. “Millionaire Success Habit” ..USD9.95
2. Sanjay Tolani … “The Objection Playbook” … USD25 (buku belum sampai lagi)
3. Fdaus Ahmad … “TakafulMan” … RM25 (order di mphonline)
4. Jonah Berger … “Invisible Influence .. RM45 (book of the month, setiap bulan dapat satu buku)

2) Ambik Tindakan (action).
Ni lah yang membezakan yang sukses dengan yang gagal. Jika tak ambik tindakan, tak nampaklah resultnya.
Aku ada juga baca buku-buku LOA (Law of attraction). Hangpa hanya berimaginasi dan nanti benda tu akan jadi. Keep dreaming. Di antara LOA ke realiti ada gap yang di panggil TINDAKAN (take action).

Kalau berimaginasi boleh terus jadik .. esok lusa NeeLopa jadi bini aku la jawabnya ….hahaha. (disclaimer: tak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau dah mati)

Tindakan biar kecil pun tak pe. Al maklumlah sibuk, buat je satu tindakan setiap hari. Tapi dengan konsistensi.

By the way, LOA works (hahaha). Aku ada beli sebijik keter Persona tahun lepas. Hajat di hati nak pilih plat kereta. Tapi nak pilih plat kena bayar extra. Abis tu tak jadiklah jawabnya. Anyway, aku buat la LOA. Dengan izin Allah plat kereta tu memang dapat nombor yang aku nak – 769.

3) Let Go (Tawakal)

Selepas ambik tindakan barulah kita lepaskan kepada Allah. Berserah kepada Allah. Bertawakal sebab kita dah lakukan sebagai insan dan hamba Allah apa yang patut kita lakukan.

Bertawakal seperti kita berdoa dan berserah. Selepas tu semuanya kerja Allah.

Konsep pada asalnya aku belajar dari Mat Salleh (omputeh) .. depa dok panggil The Power of Letting Go.

Selepas banyak buku-buku dari orang Islam dok keluaq, baru aku perasan persamaan dengan konsep Tawakal.

Self talk punya pasal, tengah dok beriadah di Vision Park, perut aku terasa lapo giler la pulak. Apsai ni, tak pernah lak jadik gini…

Hahaha.. roper-ropernya dah lebih 6km lari pecut macam Rabuan Pit, patut le perut dok sound. 5 siri dah tak cukup minyak ..hihihihi.

So, kengkawan … TAKE ACTION today ..

– Jika rasa nak bawa famili pi obersee, take action today
– Jika rasa nak mula menyimpan dan menabung, take action today
– Jika rasa nak start bisnes part time, take action today
– Jika rasa nak kahwin tahun ni, take action today
– Jika dah lama tertangguh-tangguh nak beli Takaful sekian lama, take action today (jangan lupa contact saya 🙂 di 011-16746546 khairul)

Adios.

Bila #HibahGuy berbicara .




Rakyat Malaysia overspending menjadi topik hangat sekarang!

Baru-baru ini di dalam TheStar terbaca di artikel muka depan mengenai isu semasa iaitu Rakyat malaysia overspending sebagai topik yang hangat masa kini.

Kebanyakan masalah di tujukan kepada penggunaan kad kredit yang tidak di kawal. Bukan sahaja golongan pertengahan umur yang menghadapi masalah kad kredit tetapi ianya turut membabitkan golongan muda atau lebih di kenali dengan Generasi Y (lahir pada tahun 1980 – 1990).

Baru-baru ini khutbah jumaat di Masjid bayan baru membawa topik yang sama iaitu tentang masalah berhutang dan bagaimana Islam amat menitik beratkan isu hutang agar ianya di langsaikan dengan segera.

Menurut statistik yang di keluarkan oleh Bank Negara dalam masa 10 tahun sahaja lebih daripada 22 Billion RM hutang kad kredit di catatkan. Peningkatan hutang kad kredit dan golongan yang menerima status bankrup amat membimbangkan.

Di dalam The Star telah di masukkan satu kolum bertajuk “Protect Our Pocket” untuk membincang isu yang di perkatakan sekarang.

Adakah kerana gaji yang tidak mencukupi atau kawalan perbelanjaan yang tidak di lakukan dengan betul?

Ada 2 cara untuk mengatasi masalah “kurang wang” iaitu :

  1. Berbelanja di bawah paras pendapatan anda
  2. Meningkatkan keupayaan memperolehi pendapatan

Ramai yang gagal melakukan perkara yang pertama. Tetapi walaupun ada yang mampu melakukan perkara yang ke dua dengan melakukan kerja-kerja part time namun tetap tidak mencukupi jika kawalan perbelanjaan di no.1 tidak di lakukan …

Perancangan kewangan di peringkat awal adalah perkara terpenting yang boleh di lakukan oleh seseorang. Formula yang saya gunapakai ialah Formula R.E.A.L . Satu kaedah perancangan kewangan asas yang mudah di laksanakan. Nak tahu apa itu R.E.A.L sila hubungi saya Khairul di 012-5396213 .




Selamat Hari Malaysia

Pada 16-sep ini hari Malaysia akan di sambut di Malaysia. Ianya adalah hari cuti umum di Malaysia.

Aku berbangga di lahirkan di bumi bertuah ini dan dapat berbakti di sini …. .

Perjalanan kehidupan bersamamu Malaysia akan terus di jejaki !

Salam 1Malaysia …..

 




Satu permulaan yang baru !

Cepat sungguh masa berlalu. Sebulan berpuasa macam tak rasa apa-apa. Pejam celik pejam celik dah pun masuk hari raya yang ke 5.

Ramai yang masih lagi bercuti. Tapi masa-masa begini majoritinya sudah memulakan perjalanan untuk kembali ke destinasi masing-masing dan memulakan rutin kehidupan seperti biasa.

Terubat sudah kerinduan sanak-saudara dan ibu bapa di kampung. Ramai yang pulang berhari raya untuk bertemu kaum keluarga dan rakan-rakan zaman persekolahan.

Di kala inilah pelbagai cerita di keluarkan mengenangkan kehidupan semasa di sekolah. Ini lah masanya nak buat re-union, perjumpaan sana-sini dan rumah terbuka di merata tempat. Makan, minum, sembang-sembang bagi mengeratkan tali silaraturahim di antara satu sama lain.

Setiap tahun beginilah yang akan di alami oleh ramai daripada kita. Kini ramadan pergi sekali lagi, tahun depan InsyaAllah bisa ke temu di ramadan yang akan datang.

Datang dan pergi silih berganti perkara biasa. September ini aku juga ingin memulakan satu perjalanan baru. Satu cabaran yang baru.

Selamat datang September 2011.




Ilmu dulu baru jadi jutawan

Gagal dan berjaya di dalam kehidupan adalah satu lumrah yang mesti di tempuhi. Tanpa ada cabaran dan kegagalan kita tidak akan dapat belajar bagaimana untuk berjaya.

Baru-baru ini muncul kembali cerita tentang orang-orang felda yang dulunya menjadi jutawan dalam sekelip mata, kini sudah ramai yang muflis dan kehabisan wang. Ramai yang terpedaya dengan skim cepat kaya dan ada juga yang di ceritakan wang habis di belanjakan oleh anak-anak. Ada juga yang melabur di dalam perniagaan tetapi gagal mendapat pulangan.

Teringat aku tentang buku yang di tulis oleh Robert Kiyosaki iaitu Richdad Poordad. Apa yang sebenarnya lebih penting ialah EDUCATION iaitu ilmu. Jika anda memiliki wang yang banyak tetapi tidak mempunyai ILMU yang cukup untuk mengembangkan wang tersebut, anda pasti melalui jalan kegagalan.

Tetapi sekiranya anda mempunyai wang yang sedikit tetapi mempunyai ILMU yang TINGGI di dalam mengembangkan wang tersebut, anda pasti melalui jalan kejayaan !

Undang-undang pertama seorang yang INGIN KAYA ialah “bekerja untuk pengalaman” bukan bekerja untuk duit. Di sinilah ILMU untuk menjadi kaya akan anda perolehi.

Itu sebabnya ramai yang menjadi jutawan segera akhirnya menjadi bangkrup atau muflis kerana mereka tidak memiliki ilmu untuk menjadi KAYA. Contohnya ramai yang menang loteri akhirnya kembali hidup seperti sebelum mereka memenangi loteri.

Carilah ILMU terlebih dahulu sebelum anda mengaut wang yang melimpah ruah kerana dengan adanya ilmu, wang tersebut akan terus mengalir masuk ke kantung anda tanpa anda sedari, dan bukannya mengalir keluar




Erti kemerdekaan

31hb Ogos adalah hari kemerdekaan Malaysia yang ke 54. Ianya bersamaan dengan kehadiran Aidil Fitri hari ke 2 di Malaysia.

Pada 2 minggu lagi, hari Malaysia akan di sambut pada 16hb September. Ianya adalah hari menandakan penubuhan sebuah negara Malaysia. Mungkin pada masa kini kita menikmati kemerdekaan dengan penuh kemewahan dan suasana yang amat damai. Namun ramainya wira-wira negara yang telah berbakti dan berjuang demi menuntut kemerdekaan.

Beberapa bulan yang lepas , saya dan keluarga berkesempatan melawat time tunnel di Pasir Salak. Walaupun kawasan bersejarah ini tidak di jaga dengan rapi namun muzium time tunnel adalah di antara intipati sejarah yang amat menarik. Kisah-kisah perjuangan Dato Mahajaralele, Dato Sagor, Puntum di Perak, Mat kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Mat salleh di Sabah, Rahim Dobi di Sarawak di paparkan di dalam sepanjang perjalanan time tunnel sehinga tertubuhnya Malaysia.

Tak kala melihat rentetan sejarah tersebut, aku memang terharu dengan perjuangan mereka. Perjuangan yang di anggap sebagai petualang negara oleh pemerintah British pada masa itu. Jasa dan perjuangan mereka tidak sia-sia. Itulah erti kemerdekaan buat mereka.

Di zaman ini merdeka kah kita? Walaupun negara sudahpun merdeka, bagaimana dengan diri kita sendiri?

Merdeka dari sifat marah? benci? ego? tamak?

Merdeka dari segi ekonomi? kewangan? kehidupan?

Merdeka dari melakukan dosa dan membuat binasa kepada dunia?

Mari lah kita menghayati erti kemerdekaan dari sudut dalaman diri sendiri.

Untukmu Malaysia dan wira-wira negara di Tragedi Bukit Kepong, Leftenan Adnan di Singapura dan ramai lagi – Tahniah di atas keberanian kalian semua menghasilkan satu negara Malaysia yang sudaha menjangkau usia 54 tahun.